Monday, June 14, 2010




Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun.
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika benar
Kecut takut kerana bersalah
Janji simpan di perut
Tidak pecah di mulut
Biar mati anak
Jangan mati adat








Melayu di bumi Malaysia luas maknanya:
Rawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Jawa juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Banjar dan Pattani, semua Melayu

Dalam sejarahnya Melayu itu pengembara lautan
Pintar dalam berniaga, gagah jika berperang
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala hampir hilang

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dalam diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak membilang musuh
Musuh dicari ke lubang cacing,
Tak dapat tanduk telinga di pulas
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan


Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut



Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan: "Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran.''

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebolehan
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi jaguh di persada DUNIA

1 comment:

Anak Jati said...

Boleh saya gunakan kata2 ini utk disiarkan dlm facebook saya... kata2 ni sungguh indah