Monday, September 28, 2009

Sejarah Silat Seni Gayong.




KEHADIRANNYA :

"Silat Seni Gayong adalah di akui sebagai Pusaka Tulin Kesenian bela diri bangsa Melayu".
Ilmu silat ini di percayai berasal dari sebuah pulau yang bernama Pulau Sulawesi (Pulau Celebes) iaitu salah sebuah pulau besar di bahagian timur Negara Indonesia, yang dimiliki oleh keturunan Bangsa Bugis.
Kewujudannya di Tanah Melayu bermula yang pertama dalam perlembagaan Negeri Melaka pada abad ke 15 iaitu pada zaman Raja Srivijaya (Sultan Mansur Shah).
Ilmu ini pernah juga digunakan untuk menentang penjajah Belanda suatu ketika dahulu oleh rakyat Makasar (Bugis) yang di ketuai oleh Panglima Hitam pada sekitaran tahun 1667.
Penyebarannya begitu meluas adalah terdiri dari ramai Jurulatih Biasa yang di percayai datang melalui dari Pulau Besar Sumatera yang telah menarik minat para Belia dan Beliawanis di merata daerah perkampungan di Semenanjung Malaya sebelum kehadiran Tentera Jepun.

Perkembangan di Malaysia.

Atas kegigihan daya usaha Dato Meor dan para Gurulatihnya, ilmu ini telah berkembang dari Pulau Sudong ke Negeri Johor dengan menubuhkan gelanggang latihan Silat. Pada tahun itu juga ilmu silat ini telah dikembangkan oleh saudara Kamari di Negeri Kedah. Identiti Silat Seni Gayong bertambah teguh dan di kenali ramai setelah satu undangan persembahan silat secara besar-besaran di Kelab Sukan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah oleh Y.M Tungku Kassim , iaitu Kekanda kepada Y.M Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada tahun 1958. Begitu juga di Negeri Melaka, di gelanggang silat bernama Padang Temu di tubuhkan. Perkenalan dan keahliannya semakin bertambah meluas dengan persembahan secara besar-besaran yang diadakan di Bukit Lintang atas undangan dari Encik Yaman pada tahun 1959.
Berselari dengan undangan itu, di Bukit Lintang, rombongan itu telah singgah di Pulau Besar, Melaka. Di sebuah makam Keramat panjang, Makam Tok Said, Dato Meor Melafazkan Sumpah dengan nama Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui bahawasanya, ia adalah Guru Silat Seni Gayong yang tulin yang telah ditauliahkan oleh Datuknya Sheikh Syed Zainal Bin Sheikh Syed Idris Al Attas yang pernah menabalkan Raja Perak dahulu dan yang berketurunan Raja Bugis. Andainya pengakuan itu dusta maka beliau akan mengalami muntah darah di situ juga.
Selepas itu semua ahli silat di minta turun kelaut untuk menyempurnakan adat istiadat mandi sentuk limau dan bergelanggang di sana juga. Pada tahun yang sama suatu Jawatankuasa Besar dalam Perlembagaan Silat disusun oleh Dato Mahaguru dengan menamakan mereka-mereka dengan menggunakan angka bilangan seperti orang 4, orang 8, orang 16 dan orang 32.
Dalam tahun 1962, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaya, ditubuhkan dan di daftarkan di Negeri Johor (No. P.P 361) yang merupakan Pertubuhan Silat yang pertama sekali didaftarkan di Malaysia atas kerjasama Dato Onn Bin Jaafar dan Dato Mahaguru. Sejak dari itu, pentadbiran perlembagaan serta ilmu silat di kemaskini mengikut adat istiadat perlembagaan di Raja Melayu. Langkah kegemilangannya mula merebak kemerata pelusuk Negeri dari tahun ketahun.
Suatu kebanggaan yang unggul tercapai iaitu penyebarannya bukan sahaja di perkampungan dan pertubuhan malahan juga dibahagian Balai-Balai Depoh Polis dan Tentera dan begitu juga dengan sokongan moral yang di terima dari Sultan, Menteri Negeri dan Orang Kenamaan di seluruh Negara Malaya.
Pada tahun 1966, Dato Mahaguru telah menetap semula ke Negeri Perak tempat asalnya dan menjadikan tempat kediamannya sebagai Pusat Pertubuhan Silat Seni Gayong Serantau. Beralamat No. 71, Jalan Ayer Kuning, Taiping Perak, Malaysia.
Kini perkembangannya bukan sahaja terdapat di Negara Malaysia dan Negara sekitarnya malah juga terkenal di Eropah, USA, Australia dan Timur Tengah.

PENUBUHAN MAJLIS GURULATIH KEBANGSAAN

Majlis Gurulatih Kebangsaan telah ditubuhkan di mesyuarat khas yang diadakan pada 29 Julai – 1 Ogos 2009. Mesyuarat telah diwakili oleh wakil-wakil Majlis Gurulatih Negeri. Antara ketetapan yang dibuat di mesyuarat tersebut ialah:


• Susunan dan nama Buah Tapak Kunci Mati dan Kombat (Serangan Maut) diterima pakai oleh semua wakil negeri.

• Oleh kerana gerakan Pukulan Maut adalah dikenalpasti sebagai silibus pelajaran Silat Seni Pusaka Gayong maka gerakan ini tidak dijadikan pelajaran Gayong Malaysia


• Bengkel bagi menyeragamkan pergerakan Buah Tapak Kunci Mati dan Kombat peringkat kebangsaan akan dianjurkan pada penghujung tahun ini. Melaka bersetuju untuk menjadi pengelola kepada bengkel ini


• Dicadangkan penyeragaman Seni Bunga Teratai dan Bunga Tanjung dibuat bersama dalam bengkel tersebut jika ianya bersesuaian.


• Mesyuarat MGK disarankan agar kerap diadakan bagi menyelesaikan isu-isu yang tertangguh secara berperingkat. Penganjuran mesyuarat ini adalah tertakluk kepada keadaan kewangan Pertubuhan.


• Setiap negeri diminta untuk mewujudkan Majlis Gurulatih masing-masing. Senarai majlis hendaklah diserahkan kepada Ibu Pejabat untuk tujuan rekod dan dimaklumkan kepada umum melalui laman web.


• Struktur pengurusan Majlis Gurulatih Kebangsaan dipersetujui seperti berikut:

Pengerusi : Encik Adiwijaya Hj Abdullah
Timbalan Pengerusi : Encik Kahar Redza pjk
Naib Pengerusi : YBhg. Dato’ Ismail Jantan
Setiausaha : Encik Suleh Sudin
Pen Setiausaha : Encik Syarizal Maizan
Ahli-ahli : Semua Pengerusi Majlis Gurulatih Negeri

• Dipersetujui supaya Encik Syarizal Maizan merancang dan memantau pembangunan Silat Gayong Malaysia di IPT.