Wednesday, March 3, 2010

A journey....(suatu perjalanan)

Aku dudukkan diriku di tempatnya. Dudukku duduk menanti kedatangan sesuatu yang lahir dan yang batin. Dan penyelesaian segala sesuatu yang mendatangiku itu kuselesaikan dengan ilmuku yang terahsia itu. Dan kesimpulan penyelesaiannya ialah tahu mendudukkannya pula pada tempatnya.

Dan adalah aku hidup sebagai seorang musafir yang sentiasa dalam pengembaraan, dalam perjalanan kerana perjalananku belum sampai di batasnya. Aku duduk tetapi berjalan. Perjalanan lahir yang bisa dilihat orang, dan perjalanan yang tidak bisa diketahui dan dilihat orang iaitu perjalanan dengan memegang rahsia yang sedikit:

Dia mengetahui yang tak diketahui orang

Pahlawanku bukan, pujanggaku pun bukan

Hanya musafir kelana

Cacat tubuh beta, letih tak berdaya

Tetapi tetap bekerja

Semoga sumbangsihku

Menambah sari ilmu

Harum taman pertiwi ibu

Hidup ialah mempunyai alam sendiri. Dia memberi kehidupan kepada yang ada. Yang diberikannya ialah isi. Alirannya hidup, ertinya tidak mati. Kebanyakan orang tak pandai membawakan hidup kerana membawakan kehidupan sendiri tanpa ada pengertian hidup. Apa erti hidup yang sebenarnya? Dan di manakah letaknya hidup itu? Pada kesensaraankah? Pada sukakah? Pada dukakah? Pada hartakah? Pada wang atau pada pangkatkah? Letaknya bukan pada kaya, pada miskin, pada mulia, pada sensara, pada suka, pada duka, pada wang, pada pangkat dan lain sebagainya. Kesemuanya itu adalah akibat dari perjalanan hidup yang telah, sedang dan yang akan kita lalui. Kambing, sapi atau kerbau tidak kaya, bahkan tidak punya apa-apa, juga hidup. Anjing juga hidup. Bezanya dia binatang, kita manusia.

Sebelum kita dapat mengerti apa itu hidup yang sebenarnya, hendaklah diketahui lebih dahulu bahawa hidup itu ada di diri kita, dan diri itu ada di dalam batang-tubuh kita. Dan dia mengisi kehidupan kita. Di waktu kita menjalankan kehidupan kita di luar, untuk memenuhi keperluan lahir, adakah dia kita bawa serta? Tentu orang akan mengatakan ada kerana dia telah berada bersama kita. Aku akan mengatakan tidak kerana sungguhpun ke mana saudara pergi dia ada sama saudara, tetapi untuk melancarkan usaha saudara dia tidak saudara bawa serta dengan erti yang sebenar-benarnya. Pembawaan saudara itu, walaupun dia ada tetapi tidak ikut berjasa pada usaha saudara di luar, hanya di dalam saja. Jadi adalah untuk usaha saudara di segala bidang keadaannya pasif, tidak aktif. Dan mengaktifkannya, perlu dia melainkan diketahui keadaannya, juga kita harus mengerti caranya dan kita usahakan supaya dia, selain mengisi kehidupan kita di dalam, juga mengisi kehidupan kita di luar.

Beruntunglah orang yang dapat mengetahui, menemui dan mengerti cara dan keadaannya”

“tiadakah mereka memikirakn apa yang didalam dirinya sendiri?”

Surah ar-Rum ayat 8

Ada apa di dalam diri kita itu? Kita telah menemui diri kita, dan telah mengetahuinya pula. Dan sudahkah kita mengetahui, terdiri dari apa itu diri dan ada apa di dalamnya? Untuk ini, hendaklah kita ambil pelajaran pada kenyataannya itu diri yang telah kita temui.

Semejak kita telah menemui itu diri, bererti dia telah ada. Keadaannya bersama kita. Kita pelajari dia untuk mengetahui dan mendapat isinya. Kita menemuinya setelah kita mendapat jejaknya, iaitu jalannya. Jalannya itu berisi kerana dia mengisi kehidupan kita di dalam jalannya. Adalah keadaanya tak ubah sebagai butir-butir darah melalui pembuluh darah. Hanya beza keadaannya berlainan- satu nyata dan yang satu lagi tidak nyata. Dan adalah yang dinamakan diri itu kumpulan dari isi-isi atau butir-butir hidup yang berasal dari hidup yang didatangkan oleh Yang Maha Esa. Dia hidup lagi menjaga. Dan adalah kandungan diri itu zat serba zat. Zat tersebut mengisi dan mengaliri jalannya kehidupan di dalam, dan seluruh alirannya menimbulkan rohani yang berupakan gambaran dari jasmani.

Dapat diketahui bahawa pada kita ada dua tenaga hidup; iaitu pertama lahir, dan kedua tenaga batin atau tenaga ghaib. Tenaga lahir berasal dari tenaga hidup yang dihidupkan yang menjadi tenaga jasmani, iaitu datangnya dari zat makanan yang kita makan dan minum, umpamanya nasi, buah-buahan, daging dan sebagainya.

Tenaga batin berasal dari tenaga hidup yang sebenarnya hidup, yang ada di dalam dan di luar batang tubuh kita. Keadaannya di dalam batang tubuh kita yang menjadi pokok kehidupan kita seumpama setitis air embun di daun talas atau daun keladi, hening jernih tetapi tidak lekat pada daun. Untuk kebahagian hidup kita, hendaklah kita hidupkan yang hidup itu, seperti kata pepatah, ‘Yang setitis digunungkan’. Perbuatan kita menggunungkan yang setitis itu menghasilkan sekepal, dan untuk kehidupan selanjutnya, hendaklah yang sekepal itu kita lautan kerana di luar kita akan mengharungi lautan hidup. Dalam ilmu kejiwaan, perbuatan kita menggunungkan yang setitis itu bererti membesar jiwa, kerana lautan hidup yang kita tempuh atau lalui, beralun dan bergelombang, jalannya panjang dan berliku-liku, berlurah dan berbukit, berduri, dan di balik itulah yang dinamakan bahagia.

Untuk itu kita harus pandai membawakan hidup, pandai membawakan diri dengan pengertian yang dalam. Kita mesti kenal betul terlebih dahulu yang mana itu hidup dan yang mana itu diri. Hidup itu letaknya pada ketenangan, pada ketabahan yang keluarnya menyatakan kebesaran jiwa, bukan sombong, bukan takbur dan pula bukan angkuh. Dari itu ketahuilah diri, dan tahulah pula harga diri. Orang yang tahu harga dirinya, tak akan menjual diri.




pesanan:

semoga ada keberkatan dalam amalan
buat bekalan di penghujung zaman.
ampuni kata jika tidak seindah bahasa
bicara indah hanya milik Yang Esa
aku cuma manusia biasa
seringkali melakukan dosa
usah menghukum aku hanya semata
namun sambutlah tanganku pimpin bersama
menuju puncak cinta segala cinta
menghadap Raja di singgahsana
Istana abadi yang dijanjikan-Nya

No comments: